DOHA: Julian Alvarez hanya memulakan satu perlawanan pada kelayakan Piala Dunia dan mendapati dirinya berada di bangku simpanan dalam dua aksi pertama mereka di Qatar.
Bagaimanapun esok, penyerang berusia 22 tahun itu bakal bergandingan dengan idolanya, Lionel Messi yang 13 tahun lebih tua bagi menggalas misi menamatkan penantian 36 tahun Argentina untuk bergelar juara dunia.
Meledak gol ketika menentang Poland pada penampilan sulung Piala Dunia memberi permulaan baik buat bintang Manchester City itu.
Kariernya terus berkembang apabila dia sekali lagi mencetak gol pada pusingan 16 akhir bertemu Australia.
Alvarez mengukuhkan kedudukan sebagai penyerang utama apabila terlibat dalam semua tiga gol Argentina ketika membenam Croatia 3-0 pada separuh akhir.
Dia meledak dua gol, dan gerakannya membolehkan Albiceleste mendapat sepakan penalti yang disempurnakan Messi.
Messi dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan itu, namun dia berkata, Alvarez lebih layak menerimanya dan mereka kini semakin serasi.
“Semua pemain beraksi baik tetapi jika saya boleh memilih, saya akan memberi anugerah pemain terbaik kepada Julian Alvarez,” kata Messi.
Ia amat mengujakan buat Alvarez dapat beraksi bersama Messi kerana dia hanya berusia lima tahun ketika pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu mula mewakili Argentina pada 2005. – AGENSI