PETALING JAYA: Unit Prestasi Tinggi Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini mengumumkan penguguran 12 pemain dari skuad kebangsaan sebagai langkah penstrukturan untuk menghadapi persediaan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada Mei depan.
Ketua Pegawai Eksekutif ABM, Michelle Chai menjelaskan langkah tersebut diambil hasil beberapa penilaian oleh barisan kejurulatihan masing-masing dan bukanlah sekadar melihat kepada satu dua kejohanan sahaja.
“Penguguran ini tidak bermakna karier mereka akan tamat dan terhenti di sini, sebaliknya pada zaman sekarang, pemain profesional masih mampu berjaya di luar sana untuk mencapai cita-cita mereka, khususnya layak ke Sukan Olimpik.
“Tumpuan kita kini adalah untuk mengecilkan jumlah bagi mempertingkatkan kualiti pemain daripada kuantiti, dan para pemain juga telah pun diberikan pemahaman tentang perkara ini.
“Tujuan kami mengecilkan jumlah pemain dalam skuad kebangsaan supaya kami boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemain sedia ada, dan perkara yang kami cuba elakkan adalam menyimpan pemain.
“Ramai yang mengatakan kami suka peram pemain dan tidak dihantar ke kejohanan, jadi mulai tahun hadapan, mana-mana pemain yang masih kekal kami akan komited dan mampu untuk menghantar pemain ini menyertai saingan antarabangsa,” jelas Michelle ketika sidang media di Bukit Kiara pagi tadi.
Antara yang digugurkan adalah Lim Chong King, Ting Wen Xuan (perseorangan lelaki), Myisha Mohd Khairul, Eoon Qi Xuan, Joanne Ng May Yin, Khor Jing Wen, Loh Zhi Wei (perseorangan wanita) Chang Yee Jun, Lwi Sheng Hao, Mohammad faris Amrin, Fawwaz Zainuddin dan Muhammad Zulhairi Sahimi (beregu lelaki).
Dalam masa yang sama, dua pemain iaitu S.Kisona dari acara perseorangan wanita dan Low Hang Yee dari acara beregu lelaki mengambil keputusan untuk undur diri dari badan induk itu.