LONDON: Manchester United berpotensi berdepan Barcelona dan Juventus dalam playoff Liga Europa selepas gagal menutup kempen selaku juara kumpulan.
Walaupun berjaya menumpaskan Real Sociedad 1-0 di San Sebastian hari ini, namun kelab Sepanyol itu muncul juara Kumpulan E dengan dipisahkan oleh perbezaan gol selepas kedua-dua pasukan terikat dengan 15 mata.
United kini berdepan pertembungan playoff bertemu pasukan dari Liga Juara-Juara pada Februari nanti dengan Barcelona dan Juventus berpotensi menjadi lawan mereka.
Alejandro Garnacho menjaringkan gol tunggal perlawanan, minit ke-17 mengatasi George Best sebagai pemain termuda United bukan dari England menjaringkan gol di Eropah pada usia 18 tahun.
New kid on the block.#MUFC || #UEL pic.twitter.com/CJGW4LdvRb
— Manchester United (@ManUtd) November 3, 2022
Begitupun Red Devils perlu menyesali kekalahan kepada Sociedad dalam aksi pertama di Old Trafford yang menyebabkan mereka terlepas kedudukan teratas berdasarkan perbezaan gol.
“Anda tidak selalunya dapat apa yang anda berhak, itulah bola sepak.
“Kami menang hari ini, tapi tentu sahaja kami kecewa tidak menjaringkan dua gol seperti yang kami perlukan,” kata pengurus United, Erik Ten Hag.
📺 Check out the key moments from our win over FC Zurich 👇
— Arsenal (@Arsenal) November 3, 2022
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, Arsenal tidak melakukan kesilapan sama apabila kemenangan 1-0 ke atas FC Zurich sudah cukup untuk mengekang PSV Eindhoven di persada Kumpulan A.
Skuad kendalian Mikel Arteta bagaimanapun dipaksa bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata selepas sepakan awal Kieran Tierney meletakkan mereka di depan.
Sementara itu Roma menang pertembungan dengan Ludogorets Razgrad untuk mara ke pusingan playoff selepas bangkit di ibu kota Itali. – AGENSI