PETALING JAYA: Pearly Tan-M.Thinaah meraih tonik terbaik bagi menghadapi kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir bulan depan apabila menghuni ranking tertinggi sejak digandingkan pada Jun, 2019 dengan mendaki ke tangga kelapan dunia.
Berdasarkan kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, beregu wanita negara itu mengumpul 68,305 mata untuk mendaki satu anak tangga.
Ia peningkatan memberangsangkan buat juara Terbuka Perancis itu yang kini dalam persiapan menghadapi Jelajah Dunia Akhir yang sudah pun dipindahkan dari China ke
Bangkok pada 7 hingga 11 Disember depan.
“Tumpuan kami adalah satu demi satu perlawanan terlebih dahulu, tapi memang kedudukan ranking terkini kami memberikan motivasi untuk mencapai tahap lebih baik.
“Ada bagusnya kerana berada dalam kedudukan lapan terbaik akan diletak sebagai pilihan pada kejohanan, terutama apabila kami mula memburu mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024,” kata Thinaah yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara semalam.
Kejohanan di Bangkok nanti bakal menjadi penampilan kedua Pearly-Thinaah dalam Jelajah Dunia Akhir selepas membuat kemunculan pada tahun lalu di Bali, Indonesia.
Bagaimanapun perjalanan mereka terhenti di peringkat kumpulan, dan hanya berjaya melakar satu kemenangan sahaja ketika berdepan pasangan Thailand, Rawinda Prajongjai dan Jongkolphan Kititharakul.