DOHA : Naib juara Piala Dunia 2010, Belanda terpaksa menunggu sehingga penghujung perlawanan sebelum berjaya meraih kemenangan 2-0 mengatasi Senegal.
Dua gol terhasil menerusi jaringan Cody Gakpo dan Davy Klaassen ketika perlawanan berbaki 10 minit memastikan skuad bimbingan Louis Van Gaal yang diundi dalam Kumpulan A itu bermula dengan langkah kanan.
Senegal yang merupakan juara Afrika 2021 sebelum ini tidak pernah tewas dalam dua aksi pembukaan mereka apabila memperoleh kemenangan mengejut 1-0 ke atas penyandang juara dunia Perancis pada 2002 dan menang 2-1 mengatasi Poland pada 2018.
Ketiadaan penyerang Sadio Mane yang terpaksa diketepikan ekoran kecederaan begitu dirasai skuad yang mendapat jolokan Singa Teranga itu.
Kecemerlangan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy menafikan beberapa percubaan berbahaya yang dilakukan oleh Cody Gakpo, Vincent Janssen dan Steven Bergwijn memastikan tiada jaringan dihasilkan sepanjang babak pertama.
Bersambung babak kedua, The Oranje kembali garang menggandakan asakan namun mereka sukar menembusi benteng pertahanan Senegal yang beraksi dengan cukup berdisiplin.
Senegal berpeluang berada didepan pada minit ke-72 menerusi rembatan kencang pemainnya, Idrissa Gueye namun dinafikan penjaga gol Belanda, Andries Noppert.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan 0-0, Belanda berjaya menjaringkan gol pertama menerusi tandukan Cody Gakpo selepas menerima umpanan cantik daripada Frenkie De Jong pada minit ke 84.
Kemenangan mutlak menjadi milik Belanda selepas Davy Klaassen menjaringkan gol kedua buat pasukan pada masa tambahan di penghujung perlawanan. -UTUSAN ONLINE