PETALING JAYA: Pasukan pantai timur, Terengganu dalam laluan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Piala Agong selepas bangkit untuk membenam juara 11 kali, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi separuh akhir petang tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Pangkalan Udara Subang menyaksikan ATM berjaya mendahului terlebih dahulu di babak pertama dengan keputusan 12-10 sebelum barisan pemain Terengganu melakar kebangkitan untuk memastikan tiket ke final menjadi milik mereka dengan kemenangan 24-22.
Menanti mereka merupakan satu lagi pasukan pilihan, Putrajaya yang turut menepati ramalan untuk mara ke perlawanan akhir selepas membenam juara tiga kali, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di venue sama.
Putrajaya yang dibimbing bekas pemain New Zealand, Bradley Mika menampilkan aksi memberangsankan untuk menyekat impian PDRM dengan keputusan 29-24 sekaligus berpeluang untuk meraih kejuaraan pertama mereka dalam saingan ini sejak ia dilangsungkan pada 1983.
Kedua-dua pasukan akan berentap pada Sabtu di venue sama untuk menentukan kejuaraan, sementara PDRM dan ATM pula bakal membuat perhitungan bagi merebut tempat ketiga dan keempat.