KUALA LUMPUR: Dalam keterujaan penyokong untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim menentang Selangor, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut memainkan peranan bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan solat lima waktu.
Di parkir di perkarangan Stadium Nasional berhampiran dengan Axiata Arena, sebuah bas ekspres yang diubah suai kepada surau telah disediakan oleh JAWI dengan turut dilengkapi ruang tempat mengambil air sembahyang.
Menerusi tinjauan yang dilakukan Utusan Malaysia di sini, hari ini, menjelang final Piala Malaysia, bas ekspres yang diberi nama sebgai Surau Al Barakah itu menjadi tumpuan ramai penyokong yang masih berada di luar stadium menunaikan solat.
Menerima penajaan daripada Bank Rakyat, surau bergerak itu dilihat sangat praktikal disediakan ketika acara-acara besar diadakan seperti final Piala Malaysia.
Surau tersebut yang juga menyediakan ruang solat untuk muslimah, turut meletakkan penghadang bagi kaum wanita untuk mengambil air sembahyang dengan selesa. – UTUSAN ONLINE