AL WAKRAH, Qatar: Pengendali Cameroon, Rigobert Song tetap berbangga dengan Breel Embolo walaupun penyerang Switzerland itu meledak gol kemenangan ketika berdepan skuad kendalian dalam saingan Kumpulan G di Piala Dunia Qatar 2022.
Embolo yang lahir di Yaounde menjaringkan gol kemenangan menentang negara kelahirannya selepas 48 minit permainan tetapi enggan meraikan jaringan itu dan Song turut mengucapkan tahniah kepadanya dan turut menganggap pemain itu sebagai ‘adik bongsu’.
Selepas perlawanan, Embolo juga dilihat bercakap dengan Song sekali gus menunjukkan kedua-dua mereka mempunyai hubungan yang akrab.
“Kami mengenali antara satu sama lain, dia adalah adik bongsu saya. Kami sering berbual antara satu sama lain di telefon dan saya ucapkan tahniah kepadanya.
“Ia adalah perlawanan yang adil. Hanya kerana kami mewakili pasukan berbeza, tidak bermakna kami tidak lagi bersaudara,” kata Song selepas perlawanan.
Sementara itu, Song turut mengakui pasukannya melakukan beberapa kesilapan yang menyumbang kepada kekalahan pasukannya namun, dia bangga Embolo berjaya menjaringkan gol di Piala Dunia.
“Dia tidak meraikan jaringannya, tetapi ini semua sebahagian daripada bola sepak. Saya gembira dan bangga dengannya.
“Dia bersama pasukan kebangsaan Switzerland dan saya juga mahu pemain dengan bakat sepertinya dalam pasukan saya, tapi ini adalah kehidupan.
“Bagi kami apa yang penting adalah bagaimana kami beraksi di dalam padang, apa yang kami lakukan dengan lebih baik, daripada bimbang mengenai siapa yang menjaringkan gol menentang kami.”
Dalam perlawanan tersebut, Cameroon mendominasi di awal permainan dan mempunyai tiga peluang terbaik menjaringkan gol namun mereka gagal memberikan impak pada babak kedua.
“Secara umumnya dalam bola sepak, apabila anda menguasai permainan anda juga perlu menjaringkan gol. Tidak memadai jika berjaya menguasai bola sahaja.
“Kami terlepas penyudah terakhir, kami sangat teruja untuk menang namun gagal menjaringkan gol,” kata Song. -AGENSI