AL KHOR: Kecewa gagal menumpaskan Jerman untuk meraih tiket ke saingan kalah mati Piala Dunia 2022 lebih awal, Sepanyol berikrar akan menjadikan Jepun mangsa lepas geram apabila kedua-dua pasukan berentap, Khamis ini.
Selepas membelasah Costa Rica 7-0 dalam aksi pembukaan, Sepanyol di landasan untuk mara ke pusingan kedua apabila mendahului 1-0 menerusi pemain gantian, Alvaro Morata.
Begitupun, Jerman yang menunjukkan kesungguhan untuk menang menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Niclas Fullkrug, tujuh minit sebelum tamat permainan.
“Terdapat perasaan aneh dalam bilik persalinan kerana kami berpeluang menewaskan Jerman dan kami membiarkannya terlepas, ia memalukan.
“Bagaimanapun kita perlu berfikiran positif. Kami kini di tangga teratas dalam kumpulan yang digelar ‘maut’.
“Jika seri dengan Jepun, kami sudah boleh ke peringkat kalah mati tetapi kami turun bukan untuk seri.
“Kami akan menggunakan kekuatan penuh dan mengejar kemenangan untuk menjadi juara kumpulan,” kata pengendali Sepanyol, Luis Enrique.
Sepanyol menguasai perlawanan dan mendahului di minit ke-67, namun semangat tidak menyerah Jerman membolehkan mereka meraih satu mata berharga. – AGENSI