AMSTERDAM: Pengurus Belanda, Louis Van Gaal terkejut apabila beberapa pemain berada dalam keadaan bogel ketika dia menghubungi mereka menerusi video Facetime untuk memberitahu mereka tidak layak ke Piala Dunia 2022.
Semalam, pengendali berusia 71 tahun itu mengumumkan senarai 26 pemain ke Qatar, di mana 11 terpaksa digugurkan daripada pasukan.
Van Gaal mendedahkan ketika membuat panggilan peribadi untuk berkongsi berita sedih itu, ada antara pemainnya tidak lengkap berpakaian.
“Menggugurkan pemain bukan sesuatu yang mudah, saya menghabiskan masa selama sejam 45 minit untuk memberitahu tentang perkara ini kepada setiap seorang mereka.
“Saya juga ambil maklum tentang perbezaan zon waktu dan lokasi pemain-pemain ini berada, terutama yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, dan di antara mereka masih di atas katil tidur dan tidak berpakaian,” jelas Van Gaal dalam sidang akhbar semalam.
Antara yang digugurkan pemain tengah Newcastle, Sven Botman dan bintang Manchester United, Donny Van de Beek.
Bagaimanapun beberapa tonggak seperti Virgil van Dijk, Frankie de Jong, Cody Gakpo, Memphis Deepay serta Mathiijs de Light disenaraikan dalam pasukan. – AGENSI