AL KHOR: Pengendali Qatar, Felix Sanchez mengakui, pasukannya tetap merasai sokongan penyokong walaupun ribuan penonton meninggalkan tempat duduk lebih awal selepas tuan rumah Piala Dunia itu ketinggalan 0-2 kepada Ecuador dalam aksi pembukaan di Stadium Al Bayt malam tadi.
Aksi gugup yang ditunjukkan dalam penampilan sulung Piala Dunia menyebabkan anak-anak buah Sanchez dihukum, di mana kapten Ecuador, Enner Sanchez meledak dua gol, termasuk satu sepakan penalti.
Kekalahan itu menyaksikan Qatar menjadi tuan rumah pertama tewas pada perlawanan pembukaan dalam sejarah 92 tahun Piala Dunia.
“Kami merasai sokongannya. Saya harap penyokong akan lebih berbangga pada perlawanan seterusnya. Mereka sedar kami mampu melakukan lebih baik.
“Kami sedar perkara seperti ini akan berlaku, kami akan belajar daripada kesilapan.
“Perasaan gugup menghukum kami, kami bermula dengan teruk. Kami tidak dapat melakukan hantaran dengan betul.
“Pertahanan juga longgar. Pasukan tidak seimbang dan ia menyukarkan kami. Apabila anda bermain dengan pasukan pada tahap ini, anda akan menerima padah,” kata Sanchez.
Qatar akan bertemu Senegal untuk perlawanan seterusnya dalam Kumpulan A Jumaat ini. – AFP