KUALA LUMPUR: Sabah mencipta kejutan apabila muncul juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 mengetepikan juara bertahan, Sarawak yang sebelum ini mendominasi 13 temasya lalu.
Mengumpul 54 emas, 34 perak dan 31 gangsa,negeri di bawah bayu itu tidak mampu dicabar jiran tetangga, Sarawak yang membawa pulang 47 emas, 45 perak serta 48 gangsa untuk berada di tangga kedua.
Tempat ketiga pula menjadi milik Johor yang memenangi 36 pingat emas , 28 perak dan 23 gangsa.
Ketua Kontinjen Sabah, Datuk Mansur Assun ketika ditemui pemberita berkata, beliau sama sekali tidak menduga Sabah muncul juara keseluruhan kerana sasaran asal ialah menghuni kedudukan kedua.
“Saya memang terkejut apabila dimaklumkan Sabah muncul juara keseluruhan kerana sasaran asal kita 40 emas.
“Latihan yang kita lakukan selama dua tahun sejak 2018 membuahkan hasil, kejayaan ini adalah hasil usaha keras semua termasuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Pestron (Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya Sabah) serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan kepada atlet,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah memberitahu, olahraga dan renang adalah sukan yang menjadi penyumbang terbesar pingat buat kontinjen Sabah.
Jelasnya, olahraga menyumbang 30 pingat emas, manakala, renang membawa pulang 12 emas dan ping pong lapan emas.
“Kita juga menyasarkan dua emas dalam acara memanah dan kita berjaya berbuat demikian, sementara satu pingat emas tidak diduga dari boling padang dan tenpin boling turut menyumbang satu emas,” ujarnya.
Mansur menambah, Kerajaan Negeri Sabah juga ada menjanjikan insentif untuk para atlet yang memenangi pingat pada temasya Para Sukma.
“Untuk pemenang pingat emas, atlet akan mendapat sebanyak RM5,000, manakala perak sebanyak RM1,500 dan gangsa RM800,” ujarnya.
Katanya, menyaksikan pencapaian cemerlang yang dicatat atlet para Sabah, kerajaan negeri juga merancang menubuhkan persatuan yang mengendalikan aktiviti orang kelainan upaya (oku) dengan mewujudkan enam bahagian bagi memantau 27 daerah di negeri itu.