PETALING JAYA: Spekulasi mengenai kehadiran bekas juara dunia dua kali dan Olimpik, Tony Gunawan ke Malaysia semakin bertiup kencang selepas Pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengesahkan ada menghubungi Tony.
Tony antara calon yang dikatakan akan mengisi kekosongan ditinggalkan Paulus Firman dan Flandy Limpele dalam acara beregu lelaki serta wanita.
Bekas pakar beregu lelaki dan campuran itu pernah memenangi pingat emas Olimpik Sydney 2000 dan sedang menguruskan pusat akademi badminton di Amerika Syarikat (AS).
Rexy bagaimanapun menjelaskan perbincangan dengan Tony hanyalah perbualan sebagai bekas rakan sepasukan, namun turut menyentuh mengenai kekosongan jawatan jurulatih beregu yang terdapat dalam BAM.
“Mengenai perbincangan dengan Tony, ketika itu saya di rumah dan kami hanya berhubung menerusi mesej. Kami bertanya khabar masing-masing selain perkembangan semasa.
“Setakat ini, dia ada menguruskan akademi di Amerika Syarikat dan ia berjalan sangat baik. Memang benar BAM dalam proses mencari jurulatih tetapi ia bukanlah tugas mudah.
“Tony jelaskan dia terbuka kerana dia ingin mencari pengalaman baharu tetapi setakat ini tiada sebarang keputusan,” jelas Rexy yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara semalam.
Jurulatih baharu itu dijangka diketahui selewat-lewatnya awal tahun hadapan. Dalam masa sama, Rexy menjelaskan bukan mudah untuk membentuk gandingan dalam acara beregu campuran.
Dalam masa yang sama, Rexy menjelaskan bukan mudah untuk membentuk gandingan dalam acara beregu campuran selepas skuadnya kehilangan Chan Peng Soon, Cheah Yee See serta Peck Yen Wei yang membuat keputusan drastik daripada pasukan kebangsaan dengan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 akan bermula pada 1 Mei tahun hadapan.
“Orang luar ingat mudah untuk kita menggabung pemain-pemain, terutamanya apabila kita mempunyai pemain wanita yang terhad untuk menyertai beregu campuran.
“Saya dan barisan kejurulatihan akan mengatur semula perancangan untuk skuad campuran agar kita dapat mencabar dengan pemain-pemain profesional di luar menjelang kelayakan Paris 2024,” kata Rexy.