DOHA: Juara Afrika, Senegal menghidupkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati dalam Piala Dunia 2022 apabila menumpaskan Qatar 3-1 sebentar tadi, sekali gus meletakkan tuan rumah di ambang penyingkiran.
Dalam aksi di Stadium Al Thumama itu, Senegal berada di hadapan pada minit ke-41 menerusi jaringan Baulaye Dia yang bijak memanfaatkan peluang terhidang di depan gawang.
Pada separuh masa pertama, Senegal mendahului 1-0 dan bersambung babak kedua, anak-anak buah Aliou Cisse tidak menunggu lama apabila meledak gol kedua pada minit ke-48 menerusi Famara Diedhiou.
Qatar berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-78 menerusi Mohammed Muntari, namun Bamba Dieng menoktahkan kebangkitan pasukan tuan rumah menerusi gol ketiga pada minit ke-84.
Pasukan tuan rumah yang tumpas 0-2 kepada Ecuador dalam aksi pembukaan, Ahad lalu akan menentang Belanda dalam perlawanan terakhir kumpulan.
Senegal pula akan bertemu Ecuador dalam perlawanan yang dijangka sengit dan bakal penentu pasukan mana ke pusingan kalah mati. – AGENSI