PETALING JAYA: Pasukan Putrajaya dalam landasan terbaik memulakan kempen Kejohanan Ragbi Piala Agong musim ini apabila membenam Selangor dengan keputusan 77-3 dalam aksi pembukaan kumpulan C hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia, Putrajaya tidak menunggu lama untuk memperoleh try menerusi Jeri Kavekai hanya kurang satu minit perlawanan berlangsung, dan seterusnya menyaksikan Putrajaya mendominasi keseluruhan permainan.
Selangor bernasib baik apabila mendapat mata menerusi penalti yang disempurnakan Douglas Lawrence.
Ia perlawanan yang cukup bermakna buat pasukan Putrajaya yang mendedikasi kemenangan ini buat salah seorang pemainnya, Faarih Farhan Mohd Nasir yang tidak dapat beraksi pada saat akhir kerana kehilangan ayahanda tercinta pada awal pagi tadi.
“Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada salah seorang ahli pasukn kami, Farhan kerana tidak dapat bersama kami, dia menerima perkhabaran mendukacitakan mengenai pemergian ayahnya yang tercinta, jadi kami mendedikasikan kemenangan ini untuknya.
“Mengenai perlawanan, sebelum saya hadir, Putrajaya bukanlah satu pasukan yang serius, kebanyakkan pemain adalah pemain rekreasi yang bermain petang-petang, tetapi kami membuat persiapan rapi dan diperkuatkan dengan beberapa pemain kebangsaan, dan kami berjaya tunjukkan mengapa kami menjadi pasukan pilihan untuk edisi ini,” jelas tonggak pasukan Putrajaya, K.Dineshwaran yang mesra disapa Dugro.
Keputusan ini meletakkan Putrajaya menerajui kumpulan C, dengan satu lagi perlawanan membabitkan Sarawak menentang Pulau Pinang di Padang Song Kheng Hai, Kuching memihak kepada pasukan pelawat dengan keputusan 21-23.
Pasukan Pahang pula menewaskan Negeri Sembila 39-18 untuk aksi kumpulan B, sementara juara bertahan, Terengganu cemerlang mengatasi Johor dengan keputusan 30-17.
Putrajaya bakal melayan kunjungan Sarawak pada Rabu untuk aksi kedua kumpulan.