MADRID: Thiago Alcantara dan Sergio Ramos, dua nama terbesar yang tersisih daripada skuad Piala Dunia Sepanyol.
Pengendali skuad La Roja, Luis Enrique memilih set pemain yang lebih muda, termasuk Pedri dan Gavi, manakala penyerang Ansu Fati bersedia bersaing dalam kejohanan utama pertamanya.
Thiago, 31, antara tonggak Liverpool musim ini, namun prestasinya tidak cukup meyakinkan Enrique.
Pertahanan Leeds, Diego Llorente juga terlepas peluang tetapi Sepanyol menagih pengalaman Dani Carvajal, Jordi Alba, Sergio Busquets, Koke dan Alvaro Morata.
“Saya yakin kami akan memberi cabaran terkuat dalam Piala Dunia.
“Saya percaya mereka pemain yang layak berada di sana, saya yang pertama mengakuinya. Ini pilihan saya dan kakitangan saya.
“Tidak syak lagi apa yang anda akan lihat dalam Piala Dunia. Kami akan cuba mengawal permainan, menguasai dan mencipta lebih banyak daripada lawan kami.
“Saya rasa kita akan melihat Sepanyol antara calon untuk memenangi kejohanan itu,” kata Enrique ketika mengumumkan senarai pemain ke Qatar hari ini.
Penjaga gol Manchester United, De Gea juga antara bintang Liga Perdana Inggeris yang disisihkan Enrique biarpun menampilkan aksi terbaik bersama Red Devils.
Turut hilang dari radar Sepanyol adalah penjaga gawang Chelsea, Kepa Arrizabalaga.
Sepanyol akan membuka kempen Kumpulan E dengan menentang Costa Rica pada 23 November, sebelum berdepan Jerman (27 November) dan Jepun pada 1 Disember. – AGENSI
SKUAD PIALA DUNIA SEPANYOL
PENJAGA GOL
Unai Simon (Athletic Bilbao), Robert Sanchez (Brighton & Hove Albion), David Raya (Brentford)
PERTAHANAN
Cesar Azpilicueta (Chelsea), Dani Carvajal (Real Madrid), Eric Garcia (Barcelona), Hugo Guillamon (Valencia), Pau Torres (Villarreal), Aymeric Laporte (Manchester City), Jordi Alba (Barcelona), Jose Gaya (Valencia)
TENGAH
Sergio Busquets (Barcelona), Rodri (Manchester City), Gavi (Barcelona), Carlos Soler (Paris Saint-Germain), Marcos Llorente (Atletico Madrid), Pedri (Barcelona), Koke (Atletico Madrid)
SERANGAN
Ferran Torres (Barcelona), Nico Williams (Athletic Bilbao), Yeremi Pino (Villarreal), Alvaro Morata (Atletico Madrid), Marco Asensio (Real Madrid), Pablo Sarabia (Paris Saint-Germain), Dani Olmo (RB Leipzig), Ansu Fati (Barcelona)