DOHA: Dua hari menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia 2022, Qatar berdepan tuduhan berat apabila dikatakan menyogok lapan pemain Ecuador agar memberi kemenangan kepada mereka di Stadium Al Bayt malam ini.
Ketua Serantau Pusat Kajian Timur Tengah Britain, Amjad Taha mendakwa Qatar memberikan rasuah kepada lapan pemain Ecuador berjumlah AS$7.4 juta (RM33.70 juta) untuk tewas perlawanan pertama Piala Dunia 2022.
“Eksklusif: Qatar merasuah lapan pemain Ecuador AS$7.4 juta (RM33.70 juta) untuk tewas perlawanan pembukaan (1-0 separuh masa kedua).
“Lima sumber dalaman dari Qatar dan Ecuador mengesahkan perkara ini. Kami harap ia tidak benar.
“Kami berharap dengan perkongsian ini keputusannya akan berubah. Dunia harus menentang budaya rasuah dalam FIFA,” kata Amjad Taha menerusi ciapan di Twitter.
Pengendali Qatar, Felix Sanchez menegaskan, pasukannya bukan memulakan latihan beberapa bulan, sebaliknya sudah bertahun menyiapkan program jangka sejak disahkan sebagai tuan rumah, 12 tahun lalu.
Katanya, biarpun mereka hanya berada dalam ranking ke-50 dunia, namun The Maroons mengutip sebanyak mungkin pengalaman apabila dijemput beraksi pada Piala Emas CONCACAF dan Copa America, malah mereka berhak berada di pentas Piala Dunia selaku juara Asia 2019.
“Kita melakukan program persiapan terbaik, mengambil kira Qatar hanya sebuah negara kerdil, dengan pengalaman cetek dan kebanyakan pemain pula beraksi dalam kelab domestik di liga kecil.
“Begitupun, diberi peluang beraksi di pentas Piala Emas (CONCACAF) dan Copa America, selain beberapa aksi persahabatan menentang pasukan besar, membantu kami merasai perlawanan tahap tertinggi.
“Apa pun, senario Piala Dunia sama sekali berbeza. Kami menyeru semua rakyat Qatar, dalam apa jua bentuk dan cara…Sokonglah pasukan ini, naikkan semangat kami untuk membawa maruah negara,” kata Sanchez.
Bagi Qatar, kemenangan ke atas Ecuador bukan sahaja penting untuk mencerahkan peluang dalam Kumpulan A, malah membersihkan maruah tuan rumah yang bagaikan dicari-cari.
Mereka sebelum ini turut diserang dengan tuduhan hak asasi manusia, selain rasuah untuk memenang hak tuan rumah.
Beraksi di laman sendiri, Qatar boleh menyerap semangat Korea Selatan ketika menjadi tuan rumah bersama Jepun pada Piala Dunia 2002 apabila melakar kejutan ke separuh akhir dengan menumpaskan gergasi seperti Itali dan Sepanyol.
Tuan rumah juga mempunyai senjata, bekas sayap Villarreal berusia 26 tahun, Akram Afif yang telah meledak 76 gol dan 63 gerakan daripada 124 penampilan bersama Al Sadd. – AGENSI