Peng Soon, Liu Ying kembali bertaut?

Peng Soon, Liu Ying kembali bertaut?

CHAN PENG SOON-GOH LIU YING (AFP)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Chan Peng Soon mengundurkan diri buat kali kedua dari skuad kebangsaan seakan boleh diduga selepas dua aksinya di Eropah iaitu Terbuka Denmark dan Perancis berakhir dengan kekalahan pada pusingan pertama.

Justeru pemain berusia 34 tahun itu mengesahkan sudah pun membuat permohonan untuk meninggalkan skuad kebangsaan pada Selasa.

“Saya telah menyerahkan permohonan peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan akan menarik diri secara rasmi daripada pasukan badminton kebangsaan Malaysia pada penghujung ­November ini.

“Sebenarnya, saya ingin me­ngucapkan terima kasih lebih lagi kepada Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden BAM kerana menjaga dan membim­bing saya sebagai pemain kebangsaan sepanjang tempoh ini, berkhidmat untuk negara serta peluang berkongsi pengalaman dengan rakan sepasukan.

“Akhir sekali, saya ingin me­ngucapkan ribuan terima kasih kepada Pengarah Kejurulatihan beregu Malaysia, Rexy Ronald Mainaky dan jurulatih beregu campuran, Teo Kok Siang atas bimbingan, sokongan serta sua­sana positif bersama rakan sepasukan yang bekerja keras ke arah matlamat bersama.

“Saya akan terus mengembangkan kerjaya badminton dengan arah baru,” jelas Peng Soon.

Ia seakan memberi isyarat bahawa Peng Soon akan kembali bergandingan dengan ­pa­sa­ngannya, Goh Liu Ying pada Terbuka ­Malaysia, Januari ­tahun depan selepas Liu Ying pula mengumumkan bahawa kejohanan itu akan menjadi saingan terakhir dalam ­kariernya.

Liu Ying pernah berpasangan dengan Ong Yew Sin, Soong Joo Ven dan Low Juan Shen tahun ini, namun semua tidak bertahan lama.

Pemain kelahiran Melaka itu kemudian berkata, dia akan bermain di Terbuka Malaysia 2023 bersama pasangan yang tidak akan didedahkan buat masa ini.

Selepas 13 tahun bergandingan, Peng Soon-Liu Ying mengumumkan untuk berpisah pada Disember tahun lalu, namun karier mereka semakin malap sejak membawa haluan masing-masing.

Sepanjang bermain bersama, Peng Soon-Liu Ying pernah memenangi pelbagai kejuaraan dengan pingat perak Sukan ­Olimpik 2016 di Rio antara pencapaian terbesar mereka.

Peng Soon difahamkan akan kembali menguruskan dua akademinya iaitu Akademi Badminton CPS di Butterworth dan Bukit Mertajam.

Begitupun, gandingan Peng Soon sedia ada, Cheah Yee See juga turut disahkan meninggalkan BAM, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada dia akan meneruskan kariernya sebagai pemain profesional ­dengan Peng Soon atau mencari pasangan baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya