KUALA LUMPUR: Penganjuran Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang bermula semalam, diyakini mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pada penganjuran temasya itu sebelum ini, telah terbukti Malaysia berjaya meraih banyak manfaat dengan lahirnya ramai jaguh dunia sehingga ke peringkat Paralimpik.
“Saya bangga atlet OKU (Orang Kurang Upaya) kita antara yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“Menerusi Para Sukma ini kita dapat cungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya selepas menghadiri Upacara Pembukaan Para Sukma 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, dekat sini, semalam.
Temasya tersebut telah dibuka oleh Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah.
Para Sukma 2022 membabitkan penyertaan 15 kontinjen yang terdiri daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Perak, Pahang, Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Antara sukan yang akan dipertandingkan adalah boccia, akuatik renang, badminton, catur, boling padang memanah, olahraga, ping pong, powerlifting dan tenpin boling.
Menurut Ahmad Faizal, pada temasya kali ini, Sarawak selaku juara bertahan telah membawa atlet paling ramai iaitu 143 orang, manakala, Sabah muncul kontinjen kedua tertinggi.
“Apa yang kita hendak pada temasya ini ialah menampilkan atlet baharu dari 14 hingga 45 tahun.
“Saya pecaya akan ada atlet muda suatu hari nanti mengganti atlet lama yang kini telahpun berada di penghujung karier mereka,” ujarnya.
Beliau turut menyeru kepada orang ramai agar memberikan sokongan dan datang beramai-ramai ke venue bagi menyaksikan atlet para bertanding di empat venue iaitu di Bukit Jalil, Kompleks Sukan Kampung Pandan, Bukit Kiara dan dekat Sunway. – UTUSAN ONLINE