Pandelela, Tze Liang cemerlang di Grand Prix Terjun FINA

Pandelela, Tze Liang cemerlang di Grand Prix Terjun FINA

PANDELELA Rinong kembali menemui sentuhan selepas berjaya memenangi pingat emas di Grand Prix Terjun FINA di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong kembali menemui sentuhan selepas berjaya memenangi pingat emas di Grand Prix Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA), di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pandelela yang bergelut dalam beberapa kejohanan sebelum ini, berjaya mengungguli acara 10 meter platform wanita selepas meraih keseluruhan 324.70 mata menewaskan tiga lagi peserta di pentas final.

Pingat perak milik Milly Puckeridge yang mengumpul 289.90 mata sementara Kim Nahyun dari Korea Selatan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila mengumpul 254.10 mata.

Ia penawar yang cukup baik buat penerjun berusia 29 tahun itu selepas berputih mata di Piala Dunia di Berlin bulan lalu, selain turut pulang dengan tangan kosong ketika Sukan Komanwel Birmingham pada Ogos.

“Saya rasa prestasi pada sebeleh petang lebih baik dan konsisten berbanding pusingan awal dan separuh akhir pada pagi tadi, namun perlu perbaiki dari segi taktikal dan terjunan. Saya perlu pertingkatkan kecergasan kerana apabila perlu beraksi dua atau tiga pusingan dalam satu hari, ia agak mencabar dari segi fizikal.

“Bagaimanapun pertandingan macam ini sangat baik untuk saya, selepas sebelum ini banyak pertandingan dibatalkan kerana pandemik Covid-19. Jadi pertandingan berterusan sangat penting untuk kembali kepada normal, ” jelas Pandelela yang masih mempunyai satu lagi acara iaitu 10 meter platform seirama pada Ahad, bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri.

Selain Pandelela, seorang lagi wakil negara yang turut berjaya menyumbang pingat emas pada hari pertama kejohanan merupakan Ooi Tze Liang dalam acara 3 meter papan anjal.

Tze Liang berjaya melakar keseluruhan 441.35 mata, yang juga catatan terbaik pada musim ini, sementara rakan senegara, Chew Yi Wei membawa pulang pingat perak selepas meraih 406.90 mata. Pingat gangsa pula milik penerjun Asutralia, Ichlan Cronin dengan meraih 402.20 mata.

“Saya gembira untuk menang emas dengan catatan peribadi terbaik musim ini pada kejohanan terakhir tahun ini, walaupun persediaan saya tidak berapa baik kerana terpaksa bahagikan masa antara latihan saya dan pelajaran memandangkan tahun ini tahun terakhir saya,”jelas Tze Liang yang merupakan penuntut di Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya