KUALA LUMPUR: Pingat emas pertama Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 menjadi milik pemanah Perak, Nur Jannaton Abdul Jalil yang mengungguli acara compound terbuka wanita di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, sebentar tadi.
Atlet berusia 27 tahun itu mengumpul 637 mata untuk mengetepikan dua pencabar dari Pulau Pinang, Nazirah Md. Noor dan Nor Sa’adah Abdul Wahab yang sekadar berpuas hati dengan pingat perak serta gangsa.
Nazirah mengumpul 590 mata, manakala Nor Sa’adah mengutip 571 mata.
Sementara itu, untuk aksi compound terbuka lelaki, pingat emas dimenangi oleh pemanah Kedah, G. Daneshen, 25, yang meraih 694 mata.
Pingat perak pula menjadi milik seorang lagi wakil Kedah, Azrul Abd. Rashid setelah mengumpul 653 mata dan gangsa dimenangi oleh peserta Sabah, Ramdi Rahimin dengan 652 mata. – UTUSAN ONLINE