RIO DE JANEIRO: Neymar melancarkan perang psikologi terhadap England apabila memuji Harry Kane serta pemain sayap Manchester United, Jadon Sancho sebagai pemain kegemarannya dalam skuad Three Lions.
Penyerang Brazil itu pada mulanya memilih Argentina, Jerman, Sepanyol dan Perancis sebagai pencabar utama pasukannya pada Piala Dunia 2022.
Dia bagaimanapun mengakui terlupa dengan kehadiran England sebelum memilih Kane dan Sancho sebagai pemain kegemaran.
Bagaimanapun Sancho tidak disenaraikan dalam skuad 26 pemain yang dibawa oleh Gareth Southgate ke Qatar.
Pemain sayap berusia 22 tahun itu bergelut dengan prestasi sejak berpindah dari Borussia Dortmund dengan nilai perpindahan 75 juta pound (RM 405 juta) tahun lalu.
“Piala Dunia penuh dengan kejutan.
“Anda akan mendapati ada pasukan yang langsung tidak dijangka dan tidak diberikan perhatian oleh orang ramai bakal mara jauh dalam kejohanan.
“Tetapi saya percaya pasukan pilihan adalah Argentina, Jerman, Sepanyol dan Perancis.
“Saya yakin keempat-empat pasukan itu bersama Brazil mempunyai potensi tinggi mara ke perlawanan akhir,” katanya kepada The Telegraph.
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu kemudian ditanya mengenai peluang England di Qatar.
“Saya benar-benar terlupa tentang England tetapi jelas mereka mempunyai peluang!
“Saya amat menggemari Kane dan Sancho, mereka pemain hebat dan mempunyai tempat istimewa. Saya suka pemain yang mempunyai kualiti,” kata Neymar.
Neymar juga bersemangat untuk memenangi Piala Dunia dan menyifatkan itu impiannya yang terulung dan berharap kempen Brazil kali ini akan berakhir dengan kejayaan selepas dikecewakan ketika edisi 2014 dan 2018.
Pemain berusia 30 tahun itu juga menjelaskan dia kerap bergurau dengan rakan sepasukannya di PSG, Lionel Messi yang merupakan kapten Argentina bahawa Brazil akan menewaskan mereka pada Piala Dunia.
“Kami jarang bercakap mengenainya tetapi saya pernah bergurau mengenai kemungkinan akan bertemu di final.
“Saya beritahu Messi yang saya akan menjadi juara dengan menewaskan pasukannya dan kemudian kami sama-sama tertawa,” jelas Neymar. – AGENSI