DOHA: Penyerang Brazil, Neymar akan terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 kerana belum sembuh daripada kecederaan buku lali kanan, selain demam, kata doktor pasukan hari ini.
Menurut Rodrigo Lasmar bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu tidak cergas untuk menentang Cameroon dalam perlawanan Kumpulan G, Jumaat ini.
Neymar terlepas pertemuan menentang Switzerland semalam yang menyaksikan Brazil menang 1-0, sekali gus mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati.
Penyerang berusia 30 tahun itu yang cedera dalam aksi pembukaan menentang Serbia, satu-satunya pemain yang tidak pergi ke Stadium 974 untuk menonton perlawanan dengan Switzerland.
Dia berada di hotel penginapan pasukan untuk menjalani rawatan fisioterapi.
Lasmar berkata, Neymar juga demam, namun keadaannya ‘terkawal’ dan tidak menjejaskan rawatan buku lalinya.
Pertahanan kanan Brazil, Danilo yang turut mengalami kecederaan buku lali, selain bek kiri, Alex Sandro, yang terpaksa meninggalkan perlawanan semalam akibat kecederaan otot, juga tidak akan bermain menentang Cameroon. – AGENSI