DOHA: Brazil menerima tamparan hebat pada Piala Dunia 2022 selepas pemain bintangnya, Neymar terpaksa diketepikan dalam baki saingan peringkat kumpulan selepas terseliuh buku lali.
Neymar adalah pemain yang paling banyak dikasari dalam perlawanan pertama Brazil semalam, dia diterjah sembilan kali semasa kemenangan 2-0 ke atas Serbia.
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu kelihatan berpusing buku lali apabila dia diterjah oleh pemain pertahanan Serbia, Nikola Milenkovic pada minit ke-80.
Pemain berusia 30 tahun itu menghabiskan 11 minit lagi di atas padang sebelum dia digantikan dengan pemain sayap Manchester United, Antony.
Doktor pasukan Rodrigo Lasmar berkata, ujian yang dijalankan pada buku lali kanan Neymar menunjukkan dia mengalami kecederaan ligamen dan tidak akan cergas untuk menentang Switzerland pada Isnin.
“Adalah penting untuk bertenang, penilaian akan dijalankan setiap hari supaya kami boleh mendapatkan lebih banyak maklumat dan mengambil keputusan yang paling sesuai.
“Matlamat sekarang adalah untuk memulihkannya bagi memastikan dia boleh terus bermain dalam kejohanan ini,” kata Lasmar.
Selain Neymar, Danilo juga dijangka terlepas baki peringkat kumpulan selepas pemain pertahanan kanan itu juga mengalami masalah buku lali pada minit-minit akhir perlawanan dan terpincang-pincang keluar padang selepas wisel penamat dibunyikan.
Selepas perlawanan itu, pengurus Brazil, Tite mengetepikan kebimbangan bahawa Neymar boleh terlepas baki kejohanan dan berkata, pemain itu akan terus bermain di Piala Dunia.
“Kami yakin Neymar akan terus bermain di Piala Dunia,” katanya.
Neymar, yang telah menjaringkan 75 gol untuk negaranya dan dia berada di belakang Pele yang menjaringkan 77 gol selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Brazil disingkirkan Belgium pada peringkat suku akhir pada 2018, manakala kecederaan belakang pada peringkat yang sama empat tahun sebelumnya menyaksikan Neymar terlepas kekalahan memalukan Brazil 7-1 pada separuh akhir kepada Jerman.-AGENSI