DOHA: Penyerang Poland, Robert Lewandowski memberi amaran kepada rakan-rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah Mexico dalam aksi pembukaan Kumpulan C, Piala Dunia 2022 esok.
Biarpun percaya pasukannya mampu melakar kemenangan tetapi tidak bermakna mereka boleh bermain sambil lewa.
“Mexico bukan lawan mudah dan pasti memberi kesukaran tetapi kita perlu menang supaya semua pemain lebih yakin.
“Pemain Mexico memiliki kualiti, pemain sayap pertahanan mereka juga baik, jadi kami perlu menyekat serangan itu,” katanya.
Lewandowski turut mendedahkan pertahanan Mexico pasti menjadikan dia sebagai ‘sasaran’ untuk dikawal rapi, sekali gus menyaksikan Poland perlu bersedia sebaik mungkin.
“Kami sedar pertahanan Mexico pasti tidak akan memberi ruang kepada saya, namun ia membuka peluang kepada pemain lain,” kata bintang Barcelona itu.
Poland gagal melepasi peringkat kumpulan dalam tiga penampilan terakhir di Piala Dunia dan hanya mengutip tiga mata pada edisi 2018, 2006 dan 2002 namun Lewandowksi percaya pasukan itu mampu mencipta sejarah pada edisi kali ini.
“Kami tahu tekanan dan jangkaan tinggi yang diletakkan oleh penyokong. Saya perlu dan mahu bermotivasi bagi menunjukkan apa yang boleh saya lakukan di atas padang,” katanya.- AGENSI