DOHA: Kapten Argentina, Lionel Messi percaya, Brazil, Perancis dan England akan menjadi pencabar utama pasukannya untuk menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar.
Argentina diletak sebagai pilihan untuk bergelar juara buat kali ketiga selepas melakukannya pada 1978 dan 1986.
Mereka memasuki Piala Dunia pada prestasi terbaik kerana tidak tewas dalam 35 perlawanan sehingga separuh akhir Copa America 2019.
Piala Dunia di Qatar peluang terakhir Messi yang kini berusia 35 tahun untuk menjulang kejuaraan.
“Setiap kali kami bercakap tentang calon (juara), kami sentiasa menyebut mengenai pasukan yang sama. Jika saya perlu meletakkan beberapa pasukan di atas yang lain, saya rasa Brazil, Perancis dan England ada kelebihan.
“Begitupun iala Dunia sangat sukar dan rumit sehingga apa-apa boleh berlaku,” kata bintang penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu.
Messi hampir membawa pasukannya memenangi Piala Dunia 2014, namun tewas kepada Jerman dalam perlawanan akhir.
Argentina mara ke suku akhir pada 2006 dan 2010, manakala pada 2018 mereka tersingkir di peringkat 16 terakhir.
Mereka diletak sebagai pasukan pilihan untuk menduduki tempat teratas Kumpulan C yang mengandungi Arab Saudi, Mexico dan Poland. – AGENSI