MELAKA: Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) tidak terkejut dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak rayuan Melaka United FC (MUFC) yang menyaksikan pasukan itu tidak akan menyertai Liga Super musim depan.
Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, beliau sudah menjangkakan keputusan tersebut dan MUSA tidak dapat berbuat apa-apa.
Menurutnya, segala masalah terberlaku di bawah tanggungjawab MUFC yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Justin Lim.
“MUSA tidak terlibat dalam masalah tersebut dan kegagalan mereka memenuhi tuntutan MFL benar-benar mengecewakan.
“Mereka berbelanja besar lebih daripada RM20 juta menguruskan pasukan beraksi di Liga Super sehingga menyebabkan gaji pegawai dan pemain tidak dibayar gaji.
“Begitu juga dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) (tidak dibayar),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, MFL bertegas untuk tidak menerima rayuan Melaka United (MU) mendapatkan lesen kebangsaan ekoran kegagalan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan.
Selain Melaka, Sarawak United turut disingkirkan dari Liga Super musim depan walaupun tempoh seminggu diberikan badan ‘First Instance Body (FIB) untuk kedua-dua pasukan menyerahkan beberapa dokumen.
Menjangkakan keputusan tersebut sejak awal lagi, kata Nur Azmi, MUSA telah membuat persiapan rapi membentuk pasukan berwajah baharu bagi menghadapi kancah saingan Liga Divisyen Tiga (Liga M3) musim depan.
“MUSA sudah bentuk pasukan baharu tidak kisahlah kita bermain dalam Liga M3 dan ini permulaan baharu untuk kita kembali ke Liga Super musim 2025,” ujarnya.
Katanya, MUSA kali ini berbelanja antara RM6 hingga RM7 juta bagi membentuk pasukan baharu menghadapi Liga M3.