‘Mat Salleh’ dari London sokong JDT

‘Mat Salleh’ dari London sokong JDT

HOWARD BLYTON LAWFORD (depan kanan) dan isteri, Fadzlina Alimon bergambar bersama penyokong JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AIZAWATI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Daripada ribuan penyokong tempatan yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil terdapat seorang lelaki warga England yang datang menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor, malam ini.

Saat memperkenalkan dirinya sebagai Howard Blyton Lawford, lelaki berusia 67 tahun berasal dari London itu mengakui dirinya telah mula mengikuti bola sepak tempatan khususnya pasukan JDT sejak 2005 lagi.

Mendirikan rumah tangga bersama anak kelahiran Johor, Fadzlina Alimon, Lowford menetap di negeri selatan tanah air itu sejak 2004 lagi.

Sememangnya meminati bola sepak yang merupakan sukan No. 1 di negara asalnya, Lowford berkata, dia mengikuti perkembangan JDT sejak kelab itu masih belum popular dan tidak berada dalam liga bola sepak utama.

“Sejak itu, saya menyaksikan perkembangan JDT yang begitu banyak mempamerkan peningkatan sehinggalah menjadi kuasa besar bola sepak di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual pemberita sewaktu beratur untuk memasuki ke stadium.

Ketika ditanya ramalannya, Lowford menjangkakan perlawanan akhir itu berpihak kepada JDT 3-1.

Bercakap pula tentang pandangannya terhadap bola sepak di negara ini, Lowford menjelaskan, mutu bola sepak di Malaysia masih ada jurang berbanding Liga Perdana Inggeris.

GELAGAT sebahagian penyokong yang hadir di Bukit Jalil hari ini.

“Tetapi corak permainan JDT kini semakin meningkat dan saya melihat pemain seperti Arif Aiman memiliki potensi untuk bermain di England, tetapi dia perlu bermula di liga bawahan terlebih dahulu,” ujarnya.

Isterinya, Fadzlina turut senada dengan Lowford apabila dia menyatakan rasa kagumnya terhadap bakat yang dimiliki pemain sayap tersebut.

Fadzlina merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan suaminya kepada bola sepak tempatan dan sama-sama menyaksikan perkembangan JDT sehingga kini.

“Saya yang mula-mula memperkenalkan JDT dengan suami, saya membawanya menyaksikan perlawanan JDT menentang Kelantan.

“Kami sempat bergambar dengan Safiq Rahim, malah, turut berpeluang bertemu dengannya secara peribadi,” katanya.

PENAMPILAN Marlinda Samuri dengan kostum harimau mencuri tumpuan menjelang final Piala Malaysia di Bukit Jalil hari ini. – UTUSAN/FARIZ ROSADIO

Sementara itu, seorang lagi penyokong JDT, Marlinda Samuri, 32, menarik perhatian ramai dengan gelagatnya yang menggayakan kostum harimau.

Ketika ditanya mengenai gaya uniknya itu, Marlinda berkata, setiap kali menyaksikan perlawanan JDT, dia akan mengenakan kostum tersebut sebagai tanda sokongan kepada pasukan kesayangannya itu.

“Saya dah terbiasa pakai kostum harimau ini, panas tu memanglah panas, tapi saya tak kisah, setiap kali menyaksikan perlawanan di stadium beginilah gaya saya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya