KUALA LUMPUR: Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 membuka tirai semalam, dengan tumpuan kepada juara bertahan, Sarawak sama ada mampu mempertahankan gelaran atau bakal ada juara baharu dinobatkan.
Upacara pembukaan yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil itu dirasmikan Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah.
Selaku penyandang juara dalam edisi terakhir di Perak, Sarawak sejak awal melaungkan keyakinan untuk mendominasi Para Sukma dengan sasaran meraih 64 emas daripada 10 sukan yang dipertandingkan.
Johor dan Selangor diramal menjadi pencabar utama kepada Negeri Bumi Kenyalang itu yang telahpun bergelar juara 13 kali sepanjang sejarah Para Sukma diperkenalkan sejak 1982.
Pada temasya 2018, Sarawak menggondol 61 pingat emas, manakala Sabah kedua dengan 36 emas dan Perak di kedudukan ketiga setelah mengumpul 29 emas.
Antara acara menjadi tumpuan Sarawak ialah powerlifting bersandarkan semangat idola atlet Sukan Paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin.
Para Sukma 2022 membabitkan penyertaan 15 kontinjen yang terdiri daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Perak, Pahang, Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Antara sukan yang dipertandingkan boccia, akuatik renang, badminton, catur, boling padang memanah, olahraga, ping pong, powerlifting dan tenpin boling.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu berkata, semua gelanggang berada dalam keadaan baik dan berhara segala persiapan dapat berjalan dengan lancar.
“Insya-Allah, para pegawai dan sukarelawan sudah bersedia membantu melibatkan hal logistik, perubatan dan lain-lain bagi membantu kelancaran temasya,” katanya.
Beliau juga melahirkan harapannya untuk melihat Para Sukma kali ini dapat sekali lagi menjadi platform terbaik bagi bakat-bakat sukan untuk atlet kurang upaya diketengahkan sehingga ke peringkat tertinggi.
“Kita telah melihat Para Sukma menjadi medan untuk gilap bakat para atlet.
“Melalui temasya inilah kita dapat melahirkan atlet handalan dunia seperti Mohammad Ridzuan Puzi, Bonnie Bunyau Gustin, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah,” ujarnya.
Sebanyak empat lokasi dipilih menjadi venue pertandingan untuk edisi kali ini antaranya Bukit Jalil, Kampung Pandan dan Bukit Kiara membabitkan 294 acara daripada 10 sukan.
Turut hadir dalam upacara pembukaan semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.