KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan dalam Bajet 2023 yang menyediakan s RM20 juta bagi membina sebuah litar drag di negara ini, mendapat sokongan penuh Persatuan Pemotoran Malaysia (MAM), bagaimanapun badan induk itu berharap Kedah dijadikan sebagai lokasi pembinaan trek berkenaan.
Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, sebelum ini, memang sudah ada bajet untuk pembinaan litar di Sungai Petani, Kedah dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilantik sebagai perunding, tetapi projek itu masih tidak dapat dilaksanakan.
“Saya haraplah janji itu dapat ditunaikan supaya kita ada satu trek di sebelah utara. Tetapi KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MAM dah ada perbicangan untuk buat litar drag pula dan sekarang dah dapat bajet,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Bagaimanapun, sewaktu peruntukan itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, baru-baru ini, kerajaan tidak pula menamakan mana-mana lokasi tertentu bagi membina litar drag tersebut.
Justeru, Mokhzani berharap, Kedah akan menjadi pilihan bagi menjayakan projek tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, mengulas pula mengenai insiden maut yang melibatkan seorang pemandu drag terbunuh sewaktu menyertai pertandingan di Terengganu, beliau mengakui ramai pihak mempersoalkan kejadian itu.
“Pertandingan seperti yang dianjurkan di Terengganu memerlukan pemantauan dan penyelarasan yang lebih mantap supaya peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh FIA dan FIM dipatuhi tanpa kompromi.
“Bukan nak kata merujuk kepada MAM akan menjadikan acara itu lebih mahal, tidak…kerana kita hendak pastikan keselamatan diutamakan,” tegasnya.
Dalam insiden maut berlaku di Terengganu, seorang pelumba drag, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin terbunuh sewaktu menyertai Drag Battle Of The King (BOTK) di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, dua minggu lalu.
Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta lumba yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas. – UTUSAN ONLINE