PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) yakin kontinjen Malaysia mampu meraih keputusan lebih baik berbanding temasya Hanoi, Mei lalu apabila kembali berentap di pentas Sukan SEA di Kemboja tahun depan.
Timbalan Ketua Pengarah MSN, Suhardi Alias berkata, kerja keras yang dilakukan dalam membuat pemilihan serta saringan atlet sejak Mac 2020 mampu menghasilkan lebih banyak pingat emas.
Bagaimanapun, sasaran pingat akan diumumkan adan induk sukan negara itu sebaik sahaja jawatankuasa kerja membuat penilaian mengenai semua aspek yang perlu ditikberatkan.
“Kita amat yakin bahawa prestasi di Kemboja nanti akan jauh lebih baik berbanding temasya di Hanoi sebelum ini, namun ia akan dinilai dalam jawatankuasa kerja yang dibentuk nanti.
“Selepas perbincangan dalam jawatankuasa kerja, kita akan umumkan (sasaran) selanjutnya sebulan sebelum temasya Sukan SEA bermula,” katanya selepas Perhimpunan Atlet Fasa 1 Sukan SEA Kemboja 2023 di Kompleks MSN, Bukit Jalil semalam.
Pencapaian Malaysia pada Sukan SEA, Mei lalu dianggap suram meskipun berjaya melepasi sasaran 36 pingat emas apabila sekadar menghuni kedudukan keenam keseluruhan dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin percaya keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan syarat atlet berusia bawah 23 tahun dalam kategori B sebagai langkah bijak untuk pelan jangka panjang.
“Atlet bawah 23 tahun bagi kategori B adalah sebagai persiapan untuk generasi seterusnya beraksi pada Sukan SEA Thailand 2025 serta Kuala Lumpur 2027. Kita tidak boleh terus berharap kepada atlet-atlet senior yang sudah berumur sekarang.
“Langkah yang ditetapkan oleh MOM adalah terbaik dalam usaha kita menyediakan pasukan ke temasya-temasya akan datang. Selepas ini, kita juga akan ada Sukan Olimpik Paris 2024 serta Los Angeles 2028,” ujarnya.