IPOH: Impian tuan rumah, Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah ke-29 tercapai selepas membenam Jepun 4-2 sebentar tadi.
Memerlukan hanya seri untuk menempah pertemuan dengan Korea Selatan pada Khamis ini, anak buah Arul Selvaraj sebaliknya mempamer persembahan bertenaga untuk mengenepikan cabaran Jepun pada perlawanan di Stadium Azlan Shah di sini.
Penjaga gol, Hafizuddin Othman menjadi watak utama di sebalik kejayaan skuad Speedy Tigers apabila menyelamatkan sembilan pukulan sudut penalti serta penalti strok pada minit ke-38.
Seperti ketika menentang Afrika Selatan semalam, tuan rumah menyerbu garang ke kubu lawan dan berjaya memperolehi dua gol di minit ke-7 dan ke-8 melalui kuisan kencang Razie Rahim.
Bagaimanapun Jepun merapatkan jurang melalui pukulan sudut penalti keempat oleh Kaito Tanaka pada minit ke-22.
Nik Aiman Rozemi meletak kembali Malaysia pada kedudukan selesa sejurus suku kedua bermula pada minit ke-31.
Jepun yang tidak berputus asa, merapatkan kedudukan menjadi 3-2 apabila Shota Yamada menyempurnakam pukulan sudut penalti pada minit ke-34.
Namun Norsyafiq Sumantri melegakan ribuan penyokong Malaysia dengan gol keempat untuk melenyapkan cabaran Negara Matahari Terbit itu beberapa saat saingan suku akhir keempat berlangsung.
Terdahulu, Korea Selatan menumpaskan Afrika Selatan 2-1 selepas mendahului 1-0 pada separuh pertama.
Jeon Byungjin menjaring kedua-dua gol Korea Selatan pada minit ke-26 dan ke-32 dan Bradley Sheerwood merapatkan jurang pada minit ke-40.
Manakala, Pakistan mencatat kemenangan pertamanya apabila menumpaskan Mesir 4-1.
Pakistan mendahului 4-0 melalui jaringan Abdul Rana, Muhammad Sufyan khan (dua gol) dan Arshad Liaqat.
Dengan kemenangan itu, anak buah Aikman Siegfried melonjak ke kedudukan keempat untuk layak bermain perlawanan penentuan tempat ketiga. – UTUSAN