PETALING JAYA : Pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying akan bersara selaku pemain badminton selepas berakhirnya kejohanan Terbuka Malaysia 2023.
Pemain berusia 33 tahun itu yang meraih pingat perak dalam acara beregu campuran Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Chan Peng Soon bagaimanapun merahsiakan gandingannya pada kejohanan yang akan diadakan Januari 2023.
“Terbuka Malaysia tahun depan akan menjadi kejohanan terakhir saya.
“Siapa saya akan bergandingan? Anda perlu tunggu dan lihat, tetapi itu akan menjadi yang terakhir saya,” katanya yang pernah memenangi pingat emas Sukan Komanwel bersama Peng Soon.
Liu Ying dan Peng Soon meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2019, namun Disember lalu, mereka mengumumkan untuk berpisah selepas 13 tahun bergandingan.
Kedua-dua pemain membawa haluan berbeza dengan Liu Ying meneruskan karier profresional bergandingan bersama Ong Yew Sin dan kemudian Low Juan Shen.
Peng Soon pula kembali ke pangkuan skuad kebangsaan untuk membantu BAM membangunkan pemain-pemain muda.
Begitupun sejak berpisah, karier kedua-dua pemain tidak lagi ‘seharum’ dulu. – UTUSAN ONLINE