PETALING JAYA: Jurulatih profesional lelaki negara, Indra Wijaya mengesahkan kontraknya bersama Jaguh Asia, Lee Zii Jia ditamatkan menerusi persetujuan bersama.
Indra yang kini berada di Jakarta, Indonesia akui sedih dan kecewa, bagaimanapun akur dengan keputusan yang telah pun dibuat oleh pemain tersebut selepas kedua-dua pihak bertemu pada Jumaat lalu.
Indra yang berkhidmat di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama tujuh tahun memulakan tugas melatih Zii Jia pada Februari tahun ini dan telah membantu pemain kelahiran Kedah itu meraih gelaran Juara Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand, serta naib juara Terbuka Denmark pada tahun ini.
Selain itu, dia juga membantu menaikkan ranking Zii Jia yang kini berada di No. 2 Dunia, di belakang Viktor Axelsen.