Kemalangan ubah hidup Firdaus

Kemalangan ubah hidup Firdaus

FIRDAUS Fariduddin Noordin (tengah) meraikan kejayaan meraih pingat emas Para Sukma 2022 bersama pemenang perak, Emban Utik (kiri) dan Mohd. Helmi Jasin di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Firdaus Fariduddin Noordin dilahirkan tanpa cacat cela tetapi kemalangan ngeri yang menimpanya 11 tahun lalu telah mengubah kehidupan perenang para Pulau Pinang itu apabila kakinya terpaksa dipotong sehingga melepasi paras paha.

Semalam, Firdaus yang kini berusia 23 tahun sudah menjalani hidup baharu apabila memenangi pingat emas 400 meter (m) gaya bebas S8-S9 (kecacatan bawah badan) dalam Para Sukan Malaysia (Sukma) di Bukit Jalil dengan rekod kebangsaan, 6 minit 05.70 saat (s).

Begitupun, dia masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam yang telah mengubah ke­seluruhan ‘skrip’ hidupnya.

“Mungkin pada masa itu saya baru berusia 12 tahun, budak lagi, jadi dapat terima kecaca­tan.

“Kalau kemalangan berlaku setelah saya dewasa mungkin lebih sukar,” katanya yang memadam rekod lama, 6:17.66s.

Pingat perak milik Emban Utik dari Sarawak, manakala gangsa dimenangi peserta Kedah, Mohd. Helmi Jasin.

Mengimbau detik hitam yang menimpanya, Firdaus yang berasal dari Bukit Maung, Pulau Pinang memberitahu, kemala­ngan ngeri itu berlaku di Le­buhraya Utara-Selatan dekat Bidor melibatkan bas ekspres dinaiki bersama ibu, Jumabee Latiff dan kakak, Nur Fatin Dalilah menuju ke Nilai, Negeri Sembilan untuk bercuti.

“Saya masih ingat kejadian itu, pemandu bas yang saya naiki mengantuk dan terlena sehingga bas terbabas lalu merempuh belakang lori pasir.

“Bas terbabas tetapi kami semua selamat dan diminta keluar, namun ketika saya, ibu dan kakak duduk di tepi bas, tiga-tiba datang sebuah lori lain hilang kawalan lalu melanggar bas, saya sempat menolak ibu dan kakak.

“Insiden itu menyebabkan saya terhimpit di bahagian enjin bas dan kaki kiri saya hancur. Pada masa itu, saya hanya rasa kebas dan tak rasa apa-apa,” ceritanya panjang lebar.

Jelas Firdaus, selepas hilang kaki kiri, dia menjalani kehidupan seperti biasa tetapi ketika sekolah menengah, kecacatannya sering menjadi gurauan.

“Selama lima tahun, saya sering diejek budak kaki besi, budak tiada kaki dan macam-macamlah. Nak lawan mereka saya tak mampu,” katanya.

Membuat keputusan untuk tidak menyambung pengajian ke universiti, Firdaus berkata, dia mencurah segala keringatnya kepada sukan renang dan hasilnya berbayar apabila meraih pingat emas pada Para Sukma 2022.

Selain memenangi emas 400m gaya bebas, Firdaus juga menggondol gangsa 100m kuak lentang semalam, dan pada Sabtu serta Ahad, dia bakal turun ke kolam renang untuk acara 200m rampaian individu dan 100m gaya bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya