KOTA BHARU: Bakal berdepan gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir Piala Malaysia, pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya lebih selesa pasukannya dianggap ‘underdog’.
Kata Rezal, sejak awal lagi mereka sudah menjangkakan Harimau Selatan bakal menanti sekiranya melangkah ke suku akhir dan sudah mempersiapkan pasukan untuk berdepan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
“Kami tahu, semua orang mahu lihat pertembungan JDT dan TRW (The Red Warriors) kerana sejarah antara dua pasukan ini, jadi aura tersebut sudah cukup menarik.
“Kita tetap pasukan ‘underdog’ yang mempunyai cita-cita melangkah lebih jauh dan kini JDT menjadi penghalang.
“Kami akan lakukan yang terbaik bersama iringan doa dan semangat semua pihak,” katanya.
Kelantan FC mengesahkan tiket suku akhir selepas mengetepikan Sarawak United secara agregat 2-1 selepas aksi kedua, pusingan 16 akhir kelmarin berakhir 1-1.
Rezal berharap pasukannya dapat memanfaatkan aksi suku akhir pertama yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dan berharap ribuan penyokong tuan rumah dapat memenuhi gelanggang keramat mereka.
“Kita berpeluang bersaing dan melawan JDT yang merupakan pasukan terbaik di Malaysia pada ketika ini.
“Bagi saya, tidak salah mempunyai cita-cita dan lebih penting menikmati saingan suku akhir nanti,” katanya.