Jerman lega dapat 'nyawa'

Jerman lega dapat ‘nyawa’

NICLAS Niclas Fullkrug (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika membantu Jerman mengikat Sepanyol 1-1 dalam aksi Kumpulan E di Stadium Al Bayt, Al Khor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AL KHOR: Pengendali Jerman, Hansi Flick percaya, kejayaan mengikat Sepanyol 1-1 dalam aksi kedua Kumpulan E semalam akan menjadi pencetus kebangkitan buat juara empat kali itu untuk melangkah ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2022.

Jaringan pemain gantian, Niklas Fullkrug pada minit ke-83 memberi ‘nyawa’ buat skuad Die Mannschaft yang sebelum itu resah selepas Sepanyol membuka jaringan menerusi Alvaro Morata pada minit ke-67.

Kalah mengejut 1-2 kepada Jepun dalam aksi pembukaan meletakkan nasib Jerman dalam bahaya akan tersingkir awal jika kalah dalam pertemuan itu, namun satu mata yang diraih membuka peluang mereka apabila berdepan Costa Rica, Khamis ini.

KEPUTUSAN seri dengan Sepanyol melegakan penyokong Jerman.

“Kami tahu apa yang dipertaruhkan. Sepanyol bermain bola sepak dengan bagus tetapi kami juga beraksi sebaik mereka dan mempunyai peluang besar untuk memenangi perlawanan, namun ia tidak berlaku.

“Begitupun, satu mata yang diraih bukan sahaja amat berharga, malah ia mungkin pencetus yang kami cari-cari untuk mulai memenangi perlawanan atau kejohanan,” kata Flick.

Pemain gantian, Leroy Sane terlepas peluang keemasan dalam kotak untuk mengha­dirkan gol kemenangan Jerman, namun Flick tetap berpuas hati dengan prestasi pasukannya.

“Pasukan berjuang bersungguh-sungguh dan saya sangat berpuas hati dengan mentalitinya. Ini adalah perkara yang kami mahukan dan kami tahu bahawa kami telah mengambil langkah pertama.

“Kami mahu mempunyai syarat menentang Costa Rica untuk mencapai fasa kalah mati,” kata Flick.

JERMAN di ambang penyingkiran selepas kalah 1-2 kepada Jepun dalam aksi pembukaan. 

Jerman berada di ambang penyingkiran dalam peringkat kumpulan untuk Piala Dunia kedua berturut-turut tetapi keputusan seri mereka digabungkan dengan kekalahan mengejut 0-1 Jepun kepada Costa Rica kini membawa Jerman ke landasan positif.

“Costa Rica menunjukkan mentaliti yang baik untuk kembali daripada kekalahan 7-0 kepada Sepanyol (dan menewaskan Jepun).

“Bola sepak memang begitu. Kadangkala bukan mereka yang mempunyai peluang terbanyak yang menang. Kami mengalaminya ketika menentang Jepun,” katanya.

Jerman berada di tangga tercorot dengan satu mata, manakala Costa Rica dan Jepun berkongsi tiga mata, manakala Sepanyol menerajui Kumpulan E menerusi empat mata. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya