DOHA: Pemain Iran meletakkan diri mereka dalam bahaya apabila enggan menyanyikan lagu kebangsaan dalam aksi pembukaan Piala Dunia menentang England kelmarin.
Tindakan itu dibuat sebagai sokongan terhadap tunjuk perasaan yang tercetus di negara mereka.
Semua 11 pemain Iran berdiam diri semasa lagu kebangsaan negara mereka dimainkan.
Mereka hanya berdiri sambil meletakkan tangan di bahu satu sama lain sebagai sokongan kepada penunjuk perasaan ketika Iran terus menyaksikan pergolakan awam sebagai tindak balas terhadap kematian Mahsa Amini.
Amini, 22, meninggal dunia dalam tahanan polis selepas ditangkap pada September lalu ekoran penguatkuasa undang-undang mengenai hijab.
Dia meninggal dunia selepas dibawa ke Pusat Tahanan Vozara Tehran dan pihak polis memaklumkan kematiannya berpunca daripada serangan jantung.
Kapten Iran, Ehsan Hajsafi ketika bercakap mengenai pergolakan di negaranya mengakui, keadaan itu tidak wajar dan rakyatnya juga tidak gembira.
Penyerang Iran, Sardar Azmoun turut meluahkan perasaan di media sosial dengan mengutuk tindakan terhadap Amini.
“Hati saya hancur untuk Amini dan orang-orang sepertinya tidak bersalah,” tulisnya dalam bahasa Iran di Instagram.
Azmoun turut mengakui risiko bakal dihadapi apabila bersuara menentang negara.
“Paling teruk saya akan dipecat daripada pasukan kebangsaan. Tidak mengapa. Saya akan korbankan itu,” katanya. – AGENSI