PETALING JAYA: Kelab Harini FT difahamkan berada dalam perbincangan akhir untuk mengisi slot yang ditinggalkan Petaling Jaya (PJ) City bagi beraksi di Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Sumber dalaman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata proses mengambil alih telah berada dalam perbincangan terakhir.
Tambahnya, proses sama akan berlaku seperti mana Sarawak United membuat pertukaran status pemilikan dengan Selangor United bagi beraksi di Liga Perdana 2020 sebelum dinaik pangkat ke Liga Super 2022.
“Apa yang saya dengar perbincangan sudah berada di peringkat terakhir. Ia proses sama seperti ketika Sarawak United mengambil alih Selangor United.
“Apa pun kita tunggu apa kesepakatan dicapai antara kedua-dua pihak (PJ City dan Harini FT),” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam pada itu, pihak pengurusan Harini FT mengambil sikap ‘kunci mulut’ apabila ditanya mengenai perkara tersebut.
“Buat masa sekarang pihak kami tidak mahu katakan apa-apa,” kata wakil kelab berkenaan yang enggan dikenali.
Harini FT beraksi cemerlang dalam Liga M3 dengan menamatkan perlawanan di kedudukan teratas Kumpulan B hasil 10 kemenangan, lima seri dan tiga kekalahan dalam 18 perlawanan.
Bagaimanapun, Harini FT terpaksa akur di suku akhir Liga M3 selepas tewas kepada Imigresen FC secara agregat 3-2.
Harini FT pasukan yang dijenamakan semula daripada pasukan Batu Dua FC.
Pasukan itu pernah mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila mencipta kemenangan besar di saingan kelayakan Piala FA edisi 2019 apabila membelasah Rawang City FC 17-1.