Fizzi mengejar impian jadi sehebat Dik Wan

Fizzi mengejar impian jadi sehebat Dik Wan

Ahmad Fizzi Rosni terus cemerlang apabila meraih emas keduanya dalam acara 400 meter lelaki akhir kategori T35/T36 (palsi serebrum) pada Para Sukma 2022 di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, dekat sini, hari ini. - UTUSAN/AIZAWATI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menyimpan impian untuk menjadi seperti idolanya, jaguh pecut paralimpik negara, Mohd. Ridzuan Puzi atau Dik Wan, atlet Johor, Ahmad Fizzi Rosni terus mempamer kecemerlangannya apabila meraih emas kedua dalam acara 400 meter (m) lelaki akhir kategori T35/T36 (palsi serebrum) pada Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Atlet berusia 22 tahun itu mencatat masa terpantas 60.46 saat (s) untuk mengungguli acara tersebut, manakala pingat perak dimenangi oleh Sobri Ghazali dari Kedah (66.66s) dan gangsa menjadi milik peserta Sabah, Nelson Sevilin (68.24s).

Semalam, Fizzi memenangi pingat emas pertamanya dalam acara 100m setelah melakar masa 13.15s dan esok, dia sekali lagi bakal turun ke trek untuk memburu emas ketiganya pada final 200m.

Ketika ditemui pemberita, Fizzi berkata, kejayaan yang diciptanya pada temasya Para Sukma didedikasikan kepada kedua ibu bapanya yang tidak pernah berputus asa memberikan sokongan dan dorongan untuknya berjaya sebagai atlet.

“Pengorbanan mereka membuat saya mahu terus bekerja keras, saya sanggup tidak bekerja untuk memberi fokus kepada latihan saya di Johor Bahru.

“Selama empat bulan saya berlatih untuk persiapan Para Sukma dan syukur Alhamdulillah saya berjaya memenangi pingat emas,” katanya yang melakukan penampilan buat kali kedua di pentas Para Sukma.

Anak muda yang berasal dari Tampoi itu memberitahu, untuk aksi 200m, esok, dia kalau boleh mahu memburu emas ketiga, tetapi ada beberapa pelari senior yang wajar dihormatinya.

“Kalau boleh memang saya hendak menang emas ketiga, tetapi bukan mudah pada final esok, ada abang Sobri (Ghazali) dan abang Mahfudz (Mahzan, pelari Perlis), mereka semua otai,” ujarnya.

Ketika ditanya pula apakah perancangannya selepas ini, Fizi turut menyuarakan kesediaannya untuk mewakili Malaysia jika dipanggil oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Fizi yang menyimpan impian beraksi di pentas Paralimpik pada satu hari nanti menjelaskan, dia tidak kisah berpisah jauh dengan keluarga demi mengejar cita-citanya untuk menjadi sehebat Dik Wan.

“Saya memang mengagumi Dik Wan, kalau boleh hendak jadi sehebatnya, tapi saya perlu bekerja keras untuk mengejar ke tahap dia.

“Saya yakin dengan latihan dan kemudahan lengkap yang disediakan oleh MSN, saya mampu memperbaiki catatan masa saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya