PETALING JAYA: Jurulatih beregu profesional negara, Chin Ee Hui memberi bayangan bahawa dia bakal meninggalkan Malaysia untuk mencari cabaran baru di New Zealand pada tahun hadapan.
Ia sekaligus memadamkan spekulasi mengenai jurulatih itu bakal kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membimbing skuad negara.
Ee Hui mula membimbing skuad beregu profesional yang berpusat di Sri Petaling sejak 2020 setelah kontraknya tidak disambung BAM pada 2019.
Penggendali berusia 40 tahun itu difahamkan mendapat tawaran melatih sebuah pasukan kelab di Auckland, New Zealand.
“Saya sudah menjadi jurulatih di sini untuk tempoh yang lama dan saya rasa sudah tiba masanya saya mencuba pengalaman baru di luar negara, jadi saya akan sahut cabaran itu,” jelas Ee Hui yang baru sahaja membantu gandingan beregu lelaki, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin bergelar naib juara Terbuka Australia.
Ee Hui dijangka akan terbang ke Auckland, New Zealand pada Februari tahun hadapan.
Selain Ee Yi dan Yew Sin, pemain lain yang turut di bawah kendaliannya merupakan Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing, Shevon Lai-Goh Soon Huat serta turut pernah membimbing Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.