MELAKA: Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) bertukar nama kepada Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) berkuatkuasa serta-merta, manakala pasukan Melaka United (MU) pula kini dijenamakan semula menjadi Melaka FC.
Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, penukaran itu bertujuan mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Melaka dengan mengguna pakai kembali nama asal yang telah wujud sejak 1924.
Menurutnya, perubahan itu diharap mampu membangkitkan semangat baharu kepada arena sukan bola sepak di negeri ini yang akan bersaing dalam Liga M3, musim depan.
“Saya tidak nampak MUSA itu sebagai satu jenama yang boleh membangun atau menaikkan nama Melaka pada masa depan. Benar, jenama tidak penting, tetapi pentadbiran dan pengurusan itu yang perlu diutamakan.
“Saya percaya jika kualiti pentadbiran kita berjalan lancar, insya-Allah, sasaran untuk kembali ke Liga Super pada 2024 akan tercapai,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran dan Undian Rasmi Governor Cup 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) melalui Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab (AB) menolak rayuan MUSA untuk memohon lesen kebangsaan, sekaligus menyaksikan Skuad Sang Kancil itu tidak layak beraksi dalam Liga Super 2023.
Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata, pihaknya telah membuat ketetapan dalam soal pengurusan dan akaun pasukan bagi memastikan masalah tunggakan gaji tidak berulang.
Katanya, satu akaun khas akan diwujudkan khusus untuk memastikan pembayaran gaji pemain berjalan lancar setiap bulan.
“Saya mahu fokus dan pastikan pembayaran gaji mengikut masa ditetapkan. Saya akan pastikan jika saya berhutang sekalipun, ia bukanlah hutang kepada pemain.
“Sebaliknya perkhidmatan itulah yang paling penting dalam mengembalikan bola sepak sebagai sukan nombor satu negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN