PETALING JAYA: Jaguh pecut sensasi negara, Azeem Fahmi bakal berguru dan melebarkan sayap ke Amerika Syarikat (AS) apabila memilih untuk menyambung pelajaran di Auburn University, Alabama.
Perkara itu disahkan pasukan Balapan dan Padang Auburn yang mengumumkan sudah menandatangani atlet remaja Malaysia berusia 18 tahun itu dalam ciapan di Twitter.
Itu bermakna, Azeem bakal berguru dengan bekas pemegang rekod dunia 100 meter, juara dunia dua kali serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik Barcelona 1992, Leroy Burrell yang merupakan Ketua Jurulatih Olahraga universiti berkenaan.
“Malaysia ke Auburn. Selamat datang ke keluarga kami, Azeem Fahmi,” tulis pasukan Balapan dan Padang Auburn.
Malaysia ➡️ Auburn.
Welcome home, Azeem Fahmi!#WarEagle pic.twitter.com/per0fp4ZUq
— Auburn Track & Field (@AuburnTFXC) November 17, 2022
Azeem yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dengan meraih keputusan 6A mendapat beberapa tawaran daripada universiti tempatan dan AS selepas mencatat masa sensasi, 10.09 saat (s) dalam Kejohanan Remaja Dunia di Colombia, Ogos lalu.
Catatan 10.09s yang dilakukan di peringkat saringan itu membolehkannya memecah rekod 100m kebangsaan.
Atlet kelahiran Ipoh, Perak itu kemudian menduduki tangga kelima dalam perlumbaan akhir menerusi catatan 10.14s, malah melakukan larian 10.19s di separuh akhir.
Catatan 10.09s juga membolehkan Azeem muncul pelari remaja kelima terpantas di dunia. – UTUSAN ONLINE