PETALING JAYA: Bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menerima perkhabaran gembira setelah isternya, Wong Mew Choo selamat melahirkan cahaya mata baharu hari ini yang diberi nama Anson Lee.
Menerusi perkongsian di laman media sosialnya, pemain berusia 40 tahun itu berkongsi gambar bayi baharunya itu bersama Mew Choo di hospital.
“Selamat datang, bayi yang ketiga, terima kasih tidak terhingga buat isteri tercinta atas segala pengorbanan yang telah dilakukan.
“Ibu dan anak kini selamat. Mew Choo, terima kasih atas segala usaha keras anda selama ini,” jelas Chong Wei menerusi muat naiknya di media sosial.
Selain Anson, Chong Wei dan Mei Choo turut dikurniakan lagi dua anak lelaki sebelum ini iaitu, Kingston dan Terrance. – UTUSAN ONLINE