DOHA: Malang terus menimpa Perancis dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Dunia selepas pemenang Ballon dÓr, Karim Benzema terpaksa diketepikan sepanjang kejohanan akibat kecederaan paha kiri.
Bintang penyerang Real Madrid itu kembali dihimpit kecederaan lamanya hari ini, dan dia memerlukan sekurang-kurangnya tiga minggu untuk pulih, umum Persekutuan Bola Sepak Perancis dalam satu kenyataan.
Benzema, 34, bergelut dengan kecederaan paha sejak bulan lalu menyebabkan dia bermain kurang sejam bersama kelab dalam enam perlawanan.
Benzema menjalani ujian perubatan selepas meninggalkan latihan menjelang aksi pembukaan juara bertahan itu menentang Australia, Rabu ini.
Karim @Benzema has pulled out of the World Cup with a thigh injury.
The whole team shares Karim's disappointment and wishes him a speedy recovery💙#FiersdetreBleus pic.twitter.com/fclx9pFkGz
— French Team ⭐⭐ (@FrenchTeam) November 19, 2022
Ini adalah kali pertama Benzema mengambil bahagian penuh dalam latihan sejak skuad bimbingan Didier Deschamps berkumpul di Clairefontaine Isnin lalu.
Mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Deschamps boleh memanggil pengganti untuk pemain yang cedera hingga esok, pada malam sebelum perlawanan pertama menentang Australia.
Kecederaan dialami Benzema mendatangkan masalah besar buat Deschamps yang sudah pun kehilangan dua bintang tengah, Paul Pogba dan N’Golo Kante, selain penjaga gol kedua, Mike Maignan, pertahanan Presnel Kimpembe serta penyerang, Christopher Nkunku.
Benzema, yang menang Ballon d’Or bulan lalu, tidak bermain keseluruhan aksi sejak 19 Oktober.
“Saya sangat sedih bagi pihak Karim yang menjadikan Piala Dunia ini sasaran utamanya. Walaupun ini menjadi ancaman terbaharu buat pasukan, saya ada keyakinan penuh terhadap pemain. Kami akan lakukan apa sahaja bagi menghadapi cabaran yang menanti kami,” kata Deschamps. – AFP