DOHA: Kevin De Bruyne menyeru rakan-rakan sepasukan agar lebih berani dan memperbaiki permainan apabila Belgium berdepan Maghribi dalam aksi kedua Kumpulan F hari ini.
Perancang utama Manchester City itu berkata, prestasi Red Devils jauh daripada meyakinkan ketika mereka berhempas pulas untuk menewaskan Kanada 1-0 dalam perlawanan pertama, Khamis lalu.
Biarpun dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan, De Bruyne, 31, menegaskan, dia tidak layak menerima pengiktirafan tersebut.
Ketika perlawanan, dia kelihatan jengkel dengan aksi Belgium, apatah lagi hanya Thibaut Courtois cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Alphonso Davies, sekali gus menghalang Kanada mendahului aksi awal.
“Kami perlu menunjukkan keberanian, bermain lebih bagus dan meningkatkan prestasi secara keseluruhan.
“Saya cuba untuk bertenang selepas perlawanan tetapi orang ramai tahu, saya menyuarakan semua ini kerana mahu membantu pasukan.
Getting ready for #BELMAR. ⏳ #DEVILTIME pic.twitter.com/TO3kGATpla
— Belgian Red Devils (@BelRedDevils) November 26, 2022
“Saya mahu kami bermain dengan lebih baik,” katanya dengan penuh emosi, 48 jam sebelum perlawanan menentang Maghribi.
De Bruyne juga mengakui, sukar untuk menjangkakan dia mampu mempamer prestasi seperti di kelab walaupun dia mahu melakukannya di Piala Dunia.
“Kami tidak boleh bermain dengan cara sama seperti Manchester City.
“Sebagai pasukan kebangsaan anda perlu menyesuaikan diri dengan pemain yang ada di sekeliling anda.
“Adakah ia mengecewakan saya? Ya, tetapi saya tidak perlu sentiasa menunjukkan kekecewaan itu,” ujarnya.
Kemenangan ke atas Maghribi akan membawa mereka ke pusingan 16 terakhir, dan penyerang Romelu Lukaku berpotensi duduk di bangku simpanan selepas mengalami kecederaan paha kelmarin.
“Kepulangan Romelu tidak akan mengubah cara kami bermain tetapi sudah tentu dia merupakan penyerang terbaik yang kami ada.
“Romelu sudah lama tidak bermain, tetapi jika dia hanya boleh mempunyai beberapa minit, bahagian pertahanan lawan akan lebih takut.
“Dia beri kami lebih banyak pilihan. Kepulangannya menjadi dorongan buat kami,” katanya. – AGENSI