DOHA : Belgium memilih jalan yang sukar untuk berada dikelompok 16 terbaik Piala Dunia 2022 selepas tewas mengejut 0-2 di tangan Maghribi pada aksi kedua peringkat Kumpulan F , di Stadium Al Thumama, sebentar tadi.
Menang tipis 1-0 menewaskan Kanada pada aksi pertama sebelum ini, anak buah Roberto Martinez tidak perlu menunggu sehingga perlawanan terakhir peringkat kumpulan seandainya meraih tiga mata namun keputusan sebaliknya berlaku.
Kedua- dua pasukan turun dengan misi mencari kemenangan dimana Belgium mahu meraih kemenangan kedua manakala Maghribi memburu kemenangan pertama selepas seri tanpa jaringan berdepan Croatia.
Peluang Belgium hadir menerusi Kevin De Bryune pada minit ke-16 namun rembatannya diselamatkan oleh penjaga gol lawan.
Gol yang dinantikan akhirnya berjaya dijaringan Maghribi menerusi Hakim Ziyech pada masa kecederaan separuh masa pertama namun pengadil membatalkan jaringan tersebut setelah pemeriksaan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pemain Maghribi berada di kedudukan ofsaid.
Bersambung babak kedua memperlihatkan usaha berterusan Maghribi memburu gol dan terhasil menerusi Abdelhamid Sabiri pada minit ke-73.
Zakaria Aboukhlal turut tidak ketinggalan mencetak nama selaku penjaring gol kedua buat pasukan dipenghujung masa tambahan separuh masa kedua untuk memastikan tiga mata mutlak buat pasukan.
Kemenangan ini meletakkan Maghribi mengungguli kedudukan Kumpulan F dengan empat mata selepas dua perlawanan manakala Belgium ditempat kedua. -AGENSI