BAYERN: Bayern Munich tidak gembira apabila Senegal tetap membawa bintang mereka, Sadio Mane ke Piala Dunia 2022 biarpun pemain itu masih bergelut dengan kecederaan.
Mane, 30, hanya sempat beraksi selama 15 minit ketika Bayern menumpaskan Werder Bremen 6-1, Rabu lalu sebelum dikeluarkan akibat kecederaan.
Selepas menjalani ujian imbasan, bekas penyerang Liverpool itu disahkan mengalami kecederaan lutut dan tindakan menurunkannya pada Piala Dunia di Qatar yang membuka tirai Ahad dianggap terlalu terburu-buru.
Pengurus Bayern, Julian Nagelsmann ketika mengulas situasi Mane berkata ‘kesihatan harus mengatasi bola sepak’.
“Kami akan terus memeriksa keadaannya dalam tempoh 10 hari dan kita lihat bagaimana proses pemulihannya berjalan.
“Sudah tentu, Senegal mahu dia bermain tetapi jika dia sakit, dia tidak boleh beraksi.
“Kesihatan mengatasi bola sepak. Itu yang sepatutnya kita dan semua orang lakukan,” kata Nagelsmann.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Senegal, Aliou Cisse tetap yakin Mane sempat sembuh menjelang Piala Dunia dan menyenaraikan ‘ayam tambatan’ mereka dalam senarai 26 pemain ke Qatar.
Katanya, Senegal turut menghantar doktor ke Jerman untuk memantau situasi pemain itu dan mereka dimaklumkan Mane tidak memerlukan pembedahan.
“Ia berita yang sangat baik dan kita sekarang ada peluang untuk cuba serta memastikan dia cergas sebelum kejohanan.
“Kita ada dua minggu untuk memantau keadaannya dan lihat bagaimana dia bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan,” kata Cisse.
Senegal akan memulakan kempen Kumpulan A dengan menentang Belanda pada 22 November, diikuti Qatar (25 November) dan Ecuador (29 November). – AGENSI