PETALING JAYA: Bersyukur akhirnya bakal menimba ilmu akademik dan sukan di Amerika Syarikat (AS), jaguh pecut remaja sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi berharap kejayaannya akan menjadi inspirasi kepada atlet muda lain.
Semalam, selepas lebih tiga bulan menanti, Azeem disahkan diterima menyambung pengajian di Universiti Auburn, Alabama, AS, sekali gus berguru di bawah bekas jagoan dunia, Leroy Burrell yang menjadi ketua jurulatih olahraga di sana.
Burrell merupakan bekas pemegang rekod dunia 100 meter (m), juara dunia dua kali serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik Barcelona 1992.
“Alhamdulillah, saya bersyukur semua proses ke Auburn berjalan lancar. Saya berharap dengan apa yang dilakukan sekarang dapat membuka mata atlet muda Malaysia untuk terus berusaha dalam sukan dan pelajaran.
“Bercakap mengenai penat lelah untuk ke Universiti Auburn, memang banyak yang perlu saya harungi. Saya sangat bersyukur pihak universiti juga banyak membantu urusan saya untuk ke sana.
“Berkat doa ibu bapa, keluarga serta rakyat Malaysia, semua itu adalah sumbangan kepada kejayaan dan letak duduk saya sekarang,” kata Azeem kepada Utusan Malaysia.
Azeem dijangka berlepas ke AS awal tahun hadapan, namun tiada sebarang tarikh spesifik dimaklumkan buat masa ini.
Burrell turut menulis ciapan di Twitter mengucapkan selamat datang kepada pelari remaja sensasi negara itu.
“Membawakan kelajuan ke dataran kerana kelajuanlah yang dilakukan saya dan @AfriKenTiger! Selamat datang ke keluarga Auburn, Azeem”, katanya memetik ciapan di Twitter Auburn Track & Field (@AuburnTFXC).
Ogos lalu, Azeem mencetus fenomena selepas memecah rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Columbia.
Lebih menarik, kejayaan itu dilakukan selepas insiden hitam Sukan SEA 2022, Mei lalu apabila penyertaannya dibatalkan ekoran false start.
Bagaimanapun, desas desus mengenai dia akan menyambung pelajaran menjadi perhatian media selepas Azeem meraih keputusan cemerlang 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kejayaan di bidang akademik dan sukan membolehkannya menerima banyak tawaran daripada universiti tempatan serta luar negara, namun dia akhirnya menjadi antara 17 remaja bertuah yang diterima Universiti Auburn.
Lebih membanggakan, daripada senarai itu, Azeem satu-satunya pelajar dari Asia dan Asia Tenggara, sedangkan rakan seangkatannya yang lain dari benua Eropah, Afrika dan selebihnya Amerika Syarikat.