DOHA: Semua mata akan tertumpu kepada dua pemain terbaik dunia, Lionel Messi dan Robert Lewandowski yang bakal menggalas cabaran berat negara mereka apabila Argentina menentang Poland untuk memburu tiket ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2022 esok.
Kalah di Stadium 974 bermakna impian Piala Dunia Argentina akan berkecai, manakala Poland pula hanya memerlukan seri untuk layak ke pusingan seterusnya, namun berdepan lawan yang ibarat ‘harimau lapar’ mereka sedar cabaran menanti amat sukar.

Dalam satu lagi aksi terakhir Kumpulan C, Arab Saudi dan Mexico juga akan bertarung habis-habisan untuk memenangi perlawanan bagi meloloskan diri ke peringkat 16 akhir.
Berbanding kumpulan lain, Kumpulan C paling terbuka dengan semua pasukan masih berpeluang melayakkan diri, termasuk Mexico yang menduduki tangga tercorot dengan hanya meraih satu mata.
Pengendali Argentina, Lionel Scaloni dijangka melakukan beberapa pertukaran taktikal di bahagian pertahanan, namun peranan Messi, 35, yang beraksi di pentas Piala Dunia terakhirnya tetap sama – cuba membocori gawang lawan.

Lewandowski, 34, penyerang tinggi lampai yang mengambil tempat Messi di Barcelona juga diberikan tanggungjawab sama oleh pengendali Poland, Czeslaw Michniewicz – gempur benteng Argentina dan pintu gol lawan.
Mampukah Messi membantu Argentina mengelak ‘tragedi nasional’ tersingkir awal dari Piala Dunia atau Lewandowski akhirnya membawa Poland ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak 1986? Debaran semakin memuncak. – AGENSI